SELAMAT DATANG KE BLOGKU





My Profile

Friday, April 1, 2011

April Fool Antara Kebohongan dan Kenyataan

April Fool, muhasabah dan peringatan.

April Fool? hem..
April Fool? hem..
Hari ini satu April. Dunia menyambut hari ini dengan nama April Fool. Hari berjenaka, dengan pelbagai pembohongan untuk bergurau senda. Walaupun namanya sudah sah menggunakan kaliah Inggeris, tetapi penduduk-penduduk negara lain selain negara berbahasa inggeris turut galak menyambutnya. Termasuklah penduduk di Malaysia.
Apakah sikap orang ISLAM bila hari ini datang? Itu yang saya suka bawa dan bincangkan.
Saya melihat, bila hari ini datang, akan ada dua bentuk penerimaan orang ISLAM.
Pertama, mereka menyambutnya juga. Turut melakukan pembohongan untuk berjenaka dengan teman-teman, atau mengambil peluang hari ini untuk mengenakan kenalan mereka atas tujuan keseronokan.
Nama hari ini pun sudah kelihatan jelas tujuannya, April Fool… Hari untuk memperbodohkan orang. Secara kita tidak sedar, bila kita memperbodohkan orang lain, kita juga sebenarnya sedang memperbodohkan diri kita di hadapan ALLAH SWT.
Sebenarnya, tradisi April Fool ini, adalah satu tradisi yang sama sekali tidak patut kita ikuti, rayakan, atau contohi. Hal ini kerana, berbohong atas apa tujuan sekalipun adalah salah satu dari dosa-dosa besar.
Malah, Rasulullah SAW sendiri memberikan amaran kepada sesiapa yang berbohong dari kalangan ummat baginda,
Sabda Rasulullah SAW,
“ Celakalah untuk sesiapa yang berbicara dan berbohong untuk membuat orang tertawa, celakalah untuknya” Riwayat Abu Dawud.
Sabda Rasulullah SAW lagi, kali ini dari sudut menakut-nakutkan orang, atas tujuan berjenaka.
“ Adalah dilarang untuk seorang muslim, menakutkan seorang muslim yang lain” Abu Dawud dan Musnad Ahmad.
Malah di dalam Sahih Al-Bukhari, terdapat sabda Rasulullah SAW yang menyatakan akan siksaan untuk siapa yang berbohhong. Boleh rujuk di dalam Kitab Sahih Bukhari, Vol 8, no 118.
Justeru, saya berpesan kepada diri kita semua, untuk tidak terjebak dalam pembohongan, walau apa pun tujuan kita. Tidak kiralah kerana hendak meraikan Hari April Fool ini, mahupun berbohong pada hari-hari yang lain.
Golongan kedua pula, adalah golongan yang tidak menyambut Hari April Fool, tetapi menyebarkan pula cerita palsu berkenaan sejarah sebenar berkenaan bagaimana bermulanya Hari April Fool tersebut.
Jika kita perasan, di dalam YM, mahupun di dalam Friendster dan sebagainya, akan terdapat forward mesej, atau mesej berantai yang menyatakan bahawasanya Hari April Fool ini adalah berasal dari sambutan orang kafir atas tewasnya orang ISLAM di Spain. Mereka menyambut hari kejatuhan Kerajaan ISLAM Sepanyol itu, dan menamakannya sebagai April Fool.
Dinyatakan di dalam mesej-mesej berantai ini, bahawa orang kafir telah melakukan penipuan terhadap orang ISLAM ketika itu. Maka sebab itulah dinamakan 1hb April ini sebagai Hari April Fool, yakni Hari memperbodohkan orang lain, untuk mengenangkan keberjayaan mereka menipu orang ISLAM sehingga runtuhnya kerajaan ISLAM Sepanyol.
Kes ini, sama sahaja dengan kes cerita-cerita tidak benar berkenaan asal-usul Hari Valentine. Keadaan ini, yakni menyebarkan cerita tidak betul, untuk menakut-nakutkan, atau menghindarkan orang lain dari menyambut hari-hari kebesaran agama lain, adalah satu sikap yang tidak elok dan boleh menimbulkan imej buruk terhadap orang ISLAM sendiri.
Ternyata, kisah Hari April Fool disambut kerana meraikan kejatuhan Kerajaan ISLAM Sepanyol akibat penipuan orang kafir adalah tidak benar. Saya telah membuat beberapa rujukan. Saya sertakan bersama post ini dua link untuk anda kaji semula.
Sebenarnya, orang-orang ini berniat baik untuk Orang ISLAM tidak menyambut Hari April Fool, tetapi ternyata, tanpa mereka sedari, mereka juga telah melakukan pembohongan dan melanggar pesanan Rasulullah SAW untuk tidak berbohong. Bagaimana?
Malah, lebih buruk dari itu, sikap sebegini(menyebarkan cerita bohong berkenaan satu-satu peristiwa yang merupakan kepunyaan agama/kaum lain) menimbulkan pandangan dan imej buruk masyarakat bukan ISLAM terhadap ISLAM itu sendiri.
Sememangnya, kita tidak dibenarkan menyambut April Fool. Bukanlah kerana Hari April Fool itu merupakan Hari Kejatuhan Kerajaan ISLAM mana-mana Negara, atau pada bila-bila tarikh, tetapi adalah kerana April Fool menganjurkan budaya bohong, yang ternyata jauh sekali dari ajaran ISLAM. Itu sahaja. Khalas. Janganlah kita reka-reka perkara yang tidak ada untuk menghalang orang lain. Apakah bezanya cerita ini, dengan hadith-hadith palsu yang direka-reka untuk menjauhkan orang lain dari berbuat kerosakan?
Rasulullah SAW pernah berpesan dalam sabda baginda,
Barangsiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka dia menempah tempatnya dari neraka Riwayat Bukhari dan Muslim, dan hadith ini merupakan Hadith Mutawatir.
Maka kita sebagai manusia yang beriman kepada ALLAH, sepatutnya tidak melakukan perbuatan mereka-reka cerita bohong, atau menghantar mesej-mesej berantai yang tidak kita tahu kesohihannya.
Kita hendak mencegah orang dari berbohong, tetapi ternyata, kita sendiri berbohong. Malah pembohongan kita merosakkan imej ISLAM di mata masyarakat. Apakah jenayah yang lebih besar dari pembohongan yang sedemikian?
Marilah kita sama-sama muhasabah diri, dan bergerak atas arahan ILAHI, dan kita koreksi diri dan pertingkatkan kualiti hati.
Semoga ALLAH redha kita, dan menjaga kita dengan penjagaan yang ketat.
Sumber:

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Waktu Negara Lain