Friday, September 2, 2011
Rebutlah Peluang Berpuasa Enam Hari Di Bulan Syawal
بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Bulan Ramadhan merupakan bulan mudah untuk mengaut pahala kerana setiap amal ibadah yang dilakukan oleh seseorang dengan penuh keikhlasan di bulan ini dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan pahala yang berlipat kali ganda. Walau bagaimanapun pahala yang banyak di bulan Ramadhan tidaklah terputus begitu sahaja dengan berlalunya bulan Ramadhan. Seseorang yang menekuni bulan Ramadhan dengan berpuasa penuh satu bulan akan dapat melanjutkan meraih keuntungan pahala apabila dia melaksanakan puasa enam di bulan Syawal. Puasa enam di bulan Syawal ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan Syawal setelah selesai menjalankan kewajipan ibadah puasa di bulan Ramadhan.
Fadhilat Berpuasa Sunat Enam
Seperti juga halnya dengan puasa-puasa sunat yang lain, berpuasa sunat enam di bulan Syawal juga mempunyai fadhilat tertentu jika dilaksanakan setelah berpuasa di bulan Ramadhan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Anshari Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal, (puasanya di bulan Ramadhan dan enam hari di bulan Syawal itu) seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam hadis tersebut dijelaskan mengenai ganjaran melaksanakan puasa Ramadhan diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal adalah seperti berpuasa sepanjang tahun. Disebutkan bahawa seseorang yang melakukan satu kebaikan ganjarannya adalah sebanyak sepuluh pahala. Oleh yang demikian, puasa sebulan penuh di bulan Ramadhan menyamai dengan sepuluh bulan iaitu kira-kira 300 hari, sementara puasa enam hari di bulan Syawal adalah menyamai dua bulan iaitu 60 hari dan ini menjadikan jumlah ganjaran pahala seperti pahala berpuasa setahun keseluruhannya atau dua belas bulan. Perkara ini diperkuatkan lagi dengan hadis riwayat Tsauban Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:
“Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu menyamai) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal menyamai) dengan dua bulan berpuasa, maka yang demikian itu (apabila dicampurkan menjadi)genap setahun.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Persamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala, iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya dari puasa fardhu. Hasilnya orang yang mengerjakan puasa enam setelah mengerjakan puasa Ramadhan adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.
Cara Mengerjakan Puasa Sunat Enam
Puasa sunat enam harus dikerjakan secara berasingan atau berselang seli hari sepanjang bulan Syawal. Walau bagaimanapun afdhal mengerjakannya secara berturut-turut selepas Hari Raya, iaitu mulai hari raya kedua kerana menyegerakan melaksanakan ibadat.
Bolehkah Orang Yang Meninggalkan Puasa Ramadhan Melakukan Puasa Enam? Apabila disebut mengenai puasa enam di bulan Syawal dan kaitannya dengan berpuasa sebulan penuh di bulan Ramadhan, timbul persoalan, adakah mereka yang tidak melaksanakan puasa penuh di bulan Ramadhan sama ada kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara‘ atau tidak juga diharuskan berpuasa sunat enam? Mereka yang meninggalkan puasa sama ada kerana keuzuran yang diharuskan syara‘ atau tidak, wajib mengqadha puasa yang ditinggalkannya. Oleh itu, bagi orang yang tidak berpuasa sebulan penuh Ramadhan dan ingin melakukan puasa enam hendaklah terlebih dahulu melihat sebab-sebab dia meninggalkan puasa tersebut. Penjelasannya seperti berikut:
i. Orang yang meninggalkannya dengan senghaja. Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan senghaja wajib menyegerakan qadha puasa dan haram melakukan puasa-puasa sunat termasuklah puasa enam kecuali setelah dia selesai mengqadha puasanya.
ii. Orang yang meninggalkan puasa disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ . Bagi orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ seperti haid dan nifas, musafir atau orang sakit adalah disunatkan berpuasa enam sekalipun mereka masih mempunyai qadha. Walau bagaimanapun ganjaran pahala puasa enam bagi orang yang tidak berpuasa penuh bulan Ramadhan tidak sama dengan ganjaran pahala bagi orang yang mengerjakan puasa enam selepas mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh.
Cara Berpuasa Enam Bagi Orang Yang Tidak Berpuasa Ramadhan Sebulan Penuh Kerana Uzur Syar‘ie
Terdapat beberapa cara boleh dilakukan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ dan tidak mahu terlepas peluang untuk melaksanakan puasa sunat enam, iaitu seperti berikut:
i. Melunaskan dahulu qadha puasa Ramadhan di bulan Syawal dan setelah selesai barulah melaksanakan puasa enam,
ii. atau mendahulukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal dan seterusnya melaksanakan qadha puasa sama ada di bulan Syawal atau pada bulan-bulan yang lain sebelum tibanya Ramadhan akan datang. Perkara ini dihukumkan makruh kerana melambatkan qadha Ramadhan. Walau bagaimanapun diberi pahala sunat kerana puasa sunat enam yang dilakukannya.
iii. Atau meniatkan puasa qadha dan puasa sunat enam sekaligus. Harus berniat bagi kedua-dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa sunat dengan tujuan bagi melaksanakan kedua-dua tuntutan itu. Dengan demikian terlaksanalah puasa qadha dan mendapat ganjaran sunat kerana berpuasa enam. Sebagai contoh seseorang itu boleh berniat: “Sahaja aku puasa esok hari mengqadha puasa Ramadhan dan puasa sunat enam bulan Syawal kerana Allah Ta‘ala.” Akan tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa qadha atau bagi puasa sunat enam sahaja, maka yang terlaksana adalah puasa yang diniatkannya itu. Mengenai orang yang berniat puasa wajib bersama puasa sunat ini ada disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam fatwanya menjawab mengenai dengan seseorang yang berniat puasa sunat hari ‘Arafah dengan puasa fardhu seperti qadha Ramadhan atau puasa nazar:
“Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan puasa wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya”.
Puasa sunat enam di bulan Syawal merupakan kesinambungan ibadah puasa yang dilakukan di bulan Ramadhan. Tentunya amatlah besar ganjaran yang dikurniakan olah Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi sesiapa yang melaksanakannya dengan penuh ketaqwaan dan keikhlasan. Rebutlah peluang ini dan jangan kita biarkan bulan Syawal berlalu tanpa melakukan puasa sunat enam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment