SELAMAT DATANG KE BLOGKU





My Profile

Monday, September 26, 2011

Misteri Pembinaan Piramid Telah Dijawab Dalam Al-Quran


Sudah sekian lama para saintis kebingungan tentang bagaimana sebuah piramid yang merupakan salah satu binaan ajaib di dunia ini dibina. Terdapat pelbagai teori yang dikemukakan untuk mengetahui teknologi yang digunakan dalam pembinaan piramid ini kerana teknologi untuk mengangkat batu-batuan besar yang beratnya mencapai ribuan kilogram ke puncak bangunan belum memungkinkan di zamannya. Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid ini?

Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah menyiarkan satu berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah dari tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.
Al-Quran Telahpun Mempunyai Jawapan
Jika dikaji lebih mendalam, ternyata Al-Quran telah mendedahkan perkara ini 1400 tahun sebelum kajian saintifik dijalankan. Perhatikan sebuah ayat Al Quran yang berikut:


وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرِي فَأَوْقِدْ لِي يَا هَامَانُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَلْ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَطَّلِعُ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الْكَاذِبِينَ


“Dan berkata Fir’aun: ‘Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah Hai Haman untukku TANAH LIAT kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa Dia dari orang-orang pendusta.” (Al-Qasas: 38)


Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir di dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. Teknik yang mereka gunakan adalah sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi nombor di batu yang mereka tinggalkan.
Profesor Gilles Hug, dan Dr. Michel Barsoum menegaskan bahawa Piramid yang paling besar di Giza, dibuat dari dua jenis batuan yang terdiri dari batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil dari olahan tanah liat.
Artikel kajian yang diterbitkan oleh majalah “Journal of the American Ceramic Society” menegaskan bahawa Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Kerana tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu berat ribuan kilogram. Sebaliknya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula jadi.

Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang dipanaskan dengan wap air garam dan ini akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Ringkasnya lumpur yang sudah diadun mengikut saiz yang dikehendaki tersebut dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.
Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut. Hasilnya, Davidovits menegaskan bahawa batu itu diperbuat dari lumpur. Selama ini, tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum mampu untuk membezakan antara batu alam dengan batu buatan manusia.

Sebelumnya, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari jawapan dari pembuatan batu besar di puncak-puncak piramid. Guy Demortier berkata, “Setelah bertahun-tahun melakukan penyelidikan dan kajian, sekarang barulah saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan menggunakan tanah liat.”
Penemuan oleh Dr Perancis Joseph Davidovits ini adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira dua puluh tahun. Sebuah kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, “Piramid Matahari” dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat dari tanah liat. Ini memperkuatkan lagi bahawa kaedah ini tersebar luas di masa lalu.



Gambar di atas menunjukkan kaedah tuangan batu berasal dari tanah liat telah dikenali sejak ribuan tahun yang lalu dalam tamadun yang berbeza baik Rom ataupun Firaun.

Bukti-bukti dari kajian menunjukkan kepada kita semua bahawa bangunan bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih zaman dahulu, juga dibina dari tanah liat. Al-Quran adalah kitab pertama yang mendedahkan rahsia bangunan piramid, bukan para Ilmuwan Amerika, mahupun Perancis.

Kita tahu bahawa Nabi saw tidak pernah pergi ke Mesir dan tidak pernah melihat piramid, bahkan mungkin tidak pernah mendengar tentangnya. Kisah Firaun, terjadi sebelum masa hidupnya Nabi saw ribuan tahun yang lalu, dan tidak ada satu pun di muka bumi ini pada masa itu yang mengetahui tentang rahsia piramid. Sebelum ini, para saintis tidak pasti bahawa Firaun menggunakan tanah liat yang dipanaskan untuk membina monumen tinggi kecuali beberapa tahun kebelakangan ini.

Ajaib, 1400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad saw, beratus tahun selepas berakhirnya Dinasti Firaun memberitahu bahawa Firaun membina monumen yang kini dikenali sebagai Piramid menggunakan tanah liat.

Kenyataan ini sangat jelas dan kuat untuk membuktikan bahawa Nabi Muhammad saw tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya melainkan petunjuk dari Allah swt yang menciptakan Firaun dan menenggelamkannya, dan Dia pula yang menyelamatkan nabi Musa. Dan Dia pula yang memberitahu kepada Nabi terakhir-Nya akan hakikat ilmiah ini, dan ayat ini menjadi saksi kebenaran kenabiannya di kemudian hari.

Maha Suci Allah yang telah menurunkan Al-Quran sebagai pemberi rahmat dan petunjuk kepada sekalian alam.
sumber: http://www.islamituindah.my/misteri-binaan-piramid-dijawab-oleh-al-quran
Read More..

Friday, September 2, 2011

Pesanan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Assalamualaikum Wbt.
Hari Raya Aidilfitri 2011 telah beberapa hari berlalu, namun kemeriahannya masih lagi terasa. Adab kunjung-mengunjung masih lagi dijalankan. Walaupun ada sesetengah syarikat telah mula bekerja. Rasanya belum terlambat untuk saya menyiarkan sedutan ucapan daripada pemimpin negeri kelantan yang tersohor sempena hari raya.
sama-samalah kita ikutinya, semoga ianya dapat sama-sama kita fikirkan kebaikannya:





sumber: http://ijoks2009.blogspot.com/2011/08/pesanan-hariraya-dari-tokguru.html Read More..

Rebutlah Peluang Berpuasa Enam Hari Di Bulan Syawal


بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Bulan Ramadhan merupakan bulan mudah untuk mengaut pahala kerana setiap amal ibadah yang dilakukan oleh seseorang dengan penuh keikhlasan di bulan ini dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan pahala yang berlipat kali ganda. Walau bagaimanapun pahala yang banyak di bulan Ramadhan tidaklah terputus begitu sahaja dengan berlalunya bulan Ramadhan. Seseorang yang menekuni bulan Ramadhan dengan berpuasa penuh satu bulan akan dapat melanjutkan meraih keuntungan pahala apabila dia melaksanakan puasa enam di bulan Syawal. Puasa enam di bulan Syawal ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan Syawal setelah selesai menjalankan kewajipan ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Fadhilat Berpuasa Sunat Enam

Seperti juga halnya dengan puasa-puasa sunat yang lain, berpuasa sunat enam di bulan Syawal juga mempunyai fadhilat tertentu jika dilaksanakan setelah berpuasa di bulan Ramadhan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Anshari Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal, (puasanya di bulan Ramadhan dan enam hari di bulan Syawal itu) seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam hadis tersebut dijelaskan mengenai ganjaran melaksanakan puasa Ramadhan diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal adalah seperti berpuasa sepanjang tahun. Disebutkan bahawa seseorang yang melakukan satu kebaikan ganjarannya adalah sebanyak sepuluh pahala. Oleh yang demikian, puasa sebulan penuh di bulan Ramadhan menyamai dengan sepuluh bulan iaitu kira-kira 300 hari, sementara puasa enam hari di bulan Syawal adalah menyamai dua bulan iaitu 60 hari dan ini menjadikan jumlah ganjaran pahala seperti pahala berpuasa setahun keseluruhannya atau dua belas bulan. Perkara ini diperkuatkan lagi dengan hadis riwayat Tsauban Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:

“Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu menyamai) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal menyamai) dengan dua bulan berpuasa, maka yang demikian itu (apabila dicampurkan menjadi)genap setahun.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Persamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala, iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya dari puasa fardhu. Hasilnya orang yang mengerjakan puasa enam setelah mengerjakan puasa Ramadhan adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.

Cara Mengerjakan Puasa Sunat Enam

Puasa sunat enam harus dikerjakan secara berasingan atau berselang seli hari sepanjang bulan Syawal. Walau bagaimanapun afdhal mengerjakannya secara berturut-turut selepas Hari Raya, iaitu mulai hari raya kedua kerana menyegerakan melaksanakan ibadat.
Bolehkah Orang Yang Meninggalkan Puasa Ramadhan Melakukan Puasa Enam? Apabila disebut mengenai puasa enam di bulan Syawal dan kaitannya dengan berpuasa sebulan penuh di bulan Ramadhan, timbul persoalan, adakah mereka yang tidak melaksanakan puasa penuh di bulan Ramadhan sama ada kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara‘ atau tidak juga diharuskan berpuasa sunat enam? Mereka yang meninggalkan puasa sama ada kerana keuzuran yang diharuskan syara‘ atau tidak, wajib mengqadha puasa yang ditinggalkannya. Oleh itu, bagi orang yang tidak berpuasa sebulan penuh Ramadhan dan ingin melakukan puasa enam hendaklah terlebih dahulu melihat sebab-sebab dia meninggalkan puasa tersebut. Penjelasannya seperti berikut:

i. Orang yang meninggalkannya dengan senghaja. Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan senghaja wajib menyegerakan qadha puasa dan haram melakukan puasa-puasa sunat termasuklah puasa enam kecuali setelah dia selesai mengqadha puasanya.

ii. Orang yang meninggalkan puasa disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ . Bagi orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ seperti haid dan nifas, musafir atau orang sakit adalah disunatkan berpuasa enam sekalipun mereka masih mempunyai qadha. Walau bagaimanapun ganjaran pahala puasa enam bagi orang yang tidak berpuasa penuh bulan Ramadhan tidak sama dengan ganjaran pahala bagi orang yang mengerjakan puasa enam selepas mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh.

Cara Berpuasa Enam Bagi Orang Yang Tidak Berpuasa Ramadhan Sebulan Penuh Kerana Uzur Syar‘ie

Terdapat beberapa cara boleh dilakukan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ dan tidak mahu terlepas peluang untuk melaksanakan puasa sunat enam, iaitu seperti berikut:

i. Melunaskan dahulu qadha puasa Ramadhan di bulan Syawal dan setelah selesai barulah melaksanakan puasa enam,

ii. atau mendahulukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal dan seterusnya melaksanakan qadha puasa sama ada di bulan Syawal atau pada bulan-bulan yang lain sebelum tibanya Ramadhan akan datang. Perkara ini dihukumkan makruh kerana melambatkan qadha Ramadhan. Walau bagaimanapun diberi pahala sunat kerana puasa sunat enam yang dilakukannya.

iii. Atau meniatkan puasa qadha dan puasa sunat enam sekaligus. Harus berniat bagi kedua-dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa sunat dengan tujuan bagi melaksanakan kedua-dua tuntutan itu. Dengan demikian terlaksanalah puasa qadha dan mendapat ganjaran sunat kerana berpuasa enam. Sebagai contoh seseorang itu boleh berniat: “Sahaja aku puasa esok hari mengqadha puasa Ramadhan dan puasa sunat enam bulan Syawal kerana Allah Ta‘ala.” Akan tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa qadha atau bagi puasa sunat enam sahaja, maka yang terlaksana adalah puasa yang diniatkannya itu. Mengenai orang yang berniat puasa wajib bersama puasa sunat ini ada disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam fatwanya menjawab mengenai dengan seseorang yang berniat puasa sunat hari ‘Arafah dengan puasa fardhu seperti qadha Ramadhan atau puasa nazar:

“Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan puasa wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya”.

Puasa sunat enam di bulan Syawal merupakan kesinambungan ibadah puasa yang dilakukan di bulan Ramadhan. Tentunya amatlah besar ganjaran yang dikurniakan olah Allah Subhanahu wa Ta‘ala bagi sesiapa yang melaksanakannya dengan penuh ketaqwaan dan keikhlasan. Rebutlah peluang ini dan jangan kita biarkan bulan Syawal berlalu tanpa melakukan puasa sunat enam.
Read More..
Related Posts with Thumbnails

Waktu Negara Lain